Cara Jimat Duit - 27 Cara Yang Mudah Untuk Diamalkan

Cara Jimat Duit - 27 Cara Yang Mudah Untuk Diamalkan

1 : Senaraikan Barang yang diperlukan

Membuat senarai barang yang diperlukan adalah sangat penting tetapi kerap dipandang mudah. Pembelian tanpa senarai akan menyebabkan risiko membeli barang yang tidak diperlukan. Senarai inilah yang akan menjadi panduan kita untuk membuat sebarang pembelian. Konsepnya adalah apa-apa barang yang tiada di dalam senarai tersebut adalah dalam kategori kehendak bukannya keperluan.

2 : Senaraikan stok sedia

Ini adalah penting untuk memastikan bahawa barang yang kita beli betul-betul barang yang tiada di rumah, jangan nanti selepas beli dan sampai rumah baru perasan bahawa barang itu dah ada di rumah. Senarai stok di rumah juga memudahkan kita untuk membuat senarai barang yang perlu dibeli nanti. Sebagai contoh, senarai barang dapur mungkin boleh ditampalkan dihadapan pintu peti sejuk. Jika barang tersebut kurang, terus tandakan dan secara automatik ianya juga menjadi senarai perbelanjaan anda.

3 : Beli Secara Tunai

Cara terbaik untuk membeli adalah dengan membeli barang secara tunai. Satu cara yang baik untuk melakukannya adalah dengan menggunakan sampul baget. Setiap jumlah mengikut kategori keperluan akan dikira dan dimasukkan ke dalam sampul yang berlainan dan jumlah itulah yang akan digunakan sepanjang bulan itu. Jika duit dalam sampul salah satu kategori sudah habis bermakna duit belanja untuk kategori tersebut telah habis. 

4 : Minimumkan Duit dalam dompet

Konsepnya senang sahaja. Bila duit di tangan sudah habis, tidak dapat berbelanja lagi. Sekiranya anda hendak pergi berbelanja, bawa duit untuk berbelanja secukupnya sahaja mengikut senarai yang telah ditulis. Jangan bawa duit terlalu banyak kerana itu akan menyebabkab anda mudah terbeli perkara-perkara yang tidak berkaitan dengan senarai anda.

Duit yang minimum di tangan juga akan menyebabkan seseorang itu akan berbelanja dengan lebih berhati-hati untuk mengelakkan duit dibelanjakan untuk perkara yang tidak sepatutnya.

5 : Beli barang terpakai / rejek

Jika mahu membeli baju atau kasut, mulakan pencarian keperluan anda di kedai barangan terpakai. Tidak salah untuk membeli di kedai barangan terpakai kerana terdapat juga baju yang masih elok keadaannya serta dengan harga yang berpatutan. 

Barangan rejek tidak bermaksud barang tersebut rosak sepenuhnya. Kadangkala kerosakannya hanyalah kerana jahitan yang sedikit senget atau butang yang tertanggal.

6 : Sentiasa melakukan tawar menawar

Sila lakukan tawar menawar di semua transaksi jual beli. Dikebanyakan kedai, harga yang dicatatkan pada tanda harga adalah harga jualan maksimum. Pastikan anda lakukan tawar menawar dari harga termurah yang anda mahu dan tambah sedikit demi sedikit sehingga persetujuan dicapai.

Pernah dalam satu buku saya baca, seorang budak mintak tawar menawar di stesen minyak. Dengar seperti tidak logik, tapi sebenarnya jika kita lakukannya, kita tidak rugi apa-apa pun. Paling teruk pun, juru wang tu cakap 'tak boleh'. 

Sekiranya anda membeli di pasar raya yang tidak membenarkan anda tawar menawar, pastikan anda bertanya tentang hadiah percuma (free gift) semasa membuat belian kedai-kedai tersebut. Anda tidak akan rugi apa-apa. Malah anda mungkin beruntung kerana mendapat hadiah percuma atas pembelian anda. 

7 : Semak harga

Ini adalah perkara yang kurang dilakukan oleh kebanyakan pembeli lelaki. Ramai orang lelaki yang masuk kedai, berminat, dan terus membeli. Tapi kebanyakan pembeli wanita akan pusing satu pusat beli belah untuk dapat tawaran harga yang paling baik. 

Sebaik-baiknya semak harga sekurang-kurangnya tiga kedai sebelum membuat pembelian. 

Kebanyakan kedai akan murah untuk sebahagian barang tetapi mahal untuk sebahagian barang yang lain. Sebagai contoh, kedai barangan segar seperti ayam, ikan, sayur dan barangan dapur akan menjual barangan segar dengan harga yang murah, tetapi biasanya akan menjual barang-barang kering seperti sabun atau penyembur serangga dengan harga yang lebih mahal. 

8 : Semak harga per unit

Sebagai contoh mudah, harga 5 bungkus baby wipe (30 helai setiap satu) berharga RM10 dan harga bagi 2 bungkus (100 helai setiap satu) baby wipe jenama lain adalah RM10.90. Yang manakah yang lebih murah / lebih berbaloi per unit? 

Buat perbandingan harga per unit untuk semua barang yang hendak dibeli. Anda akan dapat lihat penjimatan beberapa sen di sana dan beberapa sen di sini. Dan hasilnya anda akan dapat berjimat mungkin sehingga RM10 berbanding jika anda tidak membuat sebarang perbandingan.

9 : Jangan 'Window Shopping'

Window shopping asalnya dengan niat hanya mahu bersiar-siar di dalam pusat membeli belah. Tapi berapa ramai pula yang window shopping tapi berakhir dengan beberapa beg plastik atau beg kertas berjenama?

Window shopping ibarat meletakkan daging di hadapan harimau yang lapar. Harimau pasti tidak dapat menahan nafsu melihat daging yang lazat. Elakkan bersiar-siar di pusat membeli belah untuk menyelamatkan anda dan duit anda. Jangan sesekali menjadikan alasan window shopping sebagai cara untuk menghilangkan tekanan. Akhirnya, poket anda yang akan stress.

10: Beli secara online

Terdapat banyak laman sesawang untuk membuat belian secara atas talian terutamanay berkenaan teknologi dan pakaian. Sebelum membuat sebarang pembelian sila buat perbandingan harga antara beberapa penjual / laman sesawang. Pastikan juga tahap kesahihan penjual tersebut untuk mengelakkan anda tertipu.

11: Jangan simpan nombor kad kredit

Pembelian secara online selalunya akan menggunakan online transfer ataupun kad kredit / kad debit. 

Selepas pembelian, kadang-kadang akan ada pilihan untuk simpan (save) nombor kad kredit anda. Jangan simpan. Ada dua sebab. Pertama adalah kerana ini akan memudahkan anda berbelanja dan yang kedua berkenaan dengan keselamatan.

Membeli secara atas talian juga boleh mendatangkan ketagihan. Walaupun anda biasanya mendapat harga yang lebih murah berbanding harga jualan di kedai, sila berhati-hati semasa menjalankan pembelian atas talin.

12: Amalkan Peraturan 30 saat

Jika anda teringin membeli sesuatu yang kecil / murah tetapi tiada dalam senarai pembelian anda, fikir sejenak selama 30 saat sama ada benda tersebut betul-betul satu keperluan atau hanya kehendak yang boleh ditangguhkan. Ajaibnya biasanya seseorang tidak membelinya setelah berfikir semula. Ini adalah untuk mengelakkan 'impulse buying'.

13: Amalkan Peraturan 30 hari

Peraturan 30 hari ini adalah untuk anda sekiranya anda hendak membuat pembelian besar / mahal sebagai contoh rumah atau kereta kedua. Fikirkan segala kebaikan dan keburukannya sebelum membuat pembelian tersebut dalam masa 30 hari.

14: Jangan guna kad kredit

Bagi seseorang yang tidak dapat mengawal nafsu pembelian, dilarang sama sekali untuk mohon kad kredit. Bayar penuh setiap bulan untuk elakkan bunga terkumpul bertambah. Gunakan rebate daripada penggunaan kad kredit tersebut.

15: Jual barang yang tidak diperlukan

Perhatikan di sekeliling anda. Ada tak barang-barang yang tidak digunakan tetapi ada di dalam rumah anda. Daripada terbiar berhabuk, baik anda jualkan barang tersebut. Dapat juga pendapat sampingan.

Anda boleh membuat jualan di Mudah.my. Tiada cas penjualan dikenakan. 

16: Pilih kualiti berbanding jenama

Pada zaman ini, kita dihidangkan dengan pelbagai jenama baik dari segi barang elektronik mahupun pakaian. Jadi, semasa membuat pembelian, jenama menjadi pilihan terakhir tetapi kualiti yang menjadi perkiraan utama. 

Barang yang berkualiti sudah semestinya tahan lama dan seterusnya menjimatkan dalam jangka panjang. Barang yang berkualiti tidak semestinya mahal, tetapi barang berjenama selalunya memang mahal. Ini terbukti, beg laptop yang saya guna sekarang dibeli hanya di Mydin, tetapi masih bertahan dalam keadaan baik walaupun telah digunakan selama 6 tahun! 

17: Beli secara borong

Barang yang dibeli secara pukal atau borong selalunya akan mendapat harga yang lebih murah. Anda boleh berkongsi dengan jiran / orang lain untuk membeli secara borong barang tertentu. Barang-barang yang boleh dibeli secara borong biasanya barang yang tidak luput ataupun barang yang anda kerap guna.

18: Membeli semasa promosi / sale

Waktu harga potongan / promosi adalah waktu yang dinanti-nantikan oleh setiap pembeli di Malaysia. Tapi pembeli hendaklah sentiasa ingat, beli jangan mengikut nafsu. Pilih keperluan berbanding kemahuan ataupun kemampuan. Walaupun anda mampu tetapi tidak perlu, itu merupakan satu pembaziran. Apatah lagi jika pembelian itu hanya satu kemahuan.

19: Gunakan kad keahlian

Jika anda selalu membeli di satu kedai yang sama dan kedai tersebut ada menyediakan kad keahlian, jangan lepaskan peluang untuk menjadi ahli. Ahli biasanya akan mendapat mata setiap kali belian dan mata terkumpul boleh di tebus. 

Jangan terlalu taksub dengan satu kedai sahaja. Sesekali, cuba masuk kedai lain juga kerana mungkin barang yang sama (tapi jenama yang lain) dijual dengan harga yang lebih murah!

20: Makan dulu sebelum berbelanja

Berbelanja dalam keadaan lapar akan meningkatkan risiko membeli sesuatu yang tidak perlu. Tambahan lagi makan di luar boleh menjangkau RM10 seorang.

21: Pergi berbelanja sendirian

Pepatah ada menyatakan, 'dua kepala lebih baik dari satu' tapi pepatah ni memang tidak boleh digunakan semasa berbelanja. Seelok-eloknya jika mahu berjimat dan fokus pada senarai barang yang hendak dibeli, pergilah berbelanja sendirian.

22: Bayar bil secara atas talian

Asingkan siap-siap jumlah bayaran bil untuk setiap bulan dalam satu akaun bank khas untuk bil. Dan dari akaun tersebut buat 'standing instruction' untuk semua bil-bil anda. Membayar secara atas talian dapat menjimatkan masa, minyak kereta dan parking. Ini juga dapat mengelakkan ada bayaran tertangguh. Dan bank akan hantar anda SMS jika pembayaran gagal supaya anda sedar ada bil yang tertangguh.

23: Masak sendiri di rumah

Terdapat perbalahan sama ada makan di luar lebih jimat atau masak di rumah lebih jimat. Jika anda berkeluarga, masak dan makan di rumah jauh lebih murah. Bergantung juga dengan kreativiti masakan anda. Masakan terbaik adalah yang ringkas dan sihat. 

24: Kurangkan makan di luar

Makan di luar jika anda sendirian sahaja. Secara purata, makanan tengahari berharga dalam lingkungan RM5-RM7 dan untuk makan malam dalam lingkungan RM7-RM10 bagi seorang makan. Tetapi dengan duit RM10-RM15 sahaja sebenarnya anda sudah dapat membeli separuh ayam (~1 kg) beserta sayur-sayuran dan boleh dimasak dan dimakan untuk satu keluarga kecil untuk satu hari. 

Pilihan di tangan anda. Anda boleh habiskan RM15 untuk diri anda sendiri atau RM15 untuk anda dan keluarga anda.

25: Jika makan di luar, pesan air suam

Keuntungan sebenar restoran / gerai makanan adalah dengan air minuman. Minuman biasanya berharga antara RM1-RM5 dan ada yang lebih mahal (bergantung pada kedai). Jadi untuk mengelakkan makan luar yang mahal, order air suam sahaja. Lebih baik lagi, bawa air suam anda sendiri. 

26: Bawa bekal ke tempat kerja

Ini adalah cara jimat duit yang paling saya suka dan saya kerap amalkan. Membawa bekal ke tempat kerja dapat menjimatkan duit makan pagi dan tengahari. Paling kurang dapat jimatkan duit untuk membeli sarapan. Kebanyakan orang tidak mahu bawa bekal kerana nampak tak 'cool'. Biar nampak tak 'cool' tapi poket anda memang 'cool'. 

Tiada alasan untuk kata tidak sempat untuk menyediakan bekal untuk ke tempat kerja. Panaskan lauk malam sebelumnya, bungkus dan bawalah ke tempat kerja anda. Tidak membazir dan menjimatkan. Jika anda rajin untuk memasak, lauk-lauk lebihan yang tidak habis dimakan boleh diolah semula menjadi resepi baru. Sebagai contoh, ayam goreng boleh dipelbagaikan dengan dimasak semula menjadikannya sup ayam.

27: Beli barang yang pelbagai kegunaan

Contoh paling mudah adalah beg. Beg galas boleh dijadikan beg sekolah, beg baju dan bole letak apa pun untuk mengangkut sesuatu dari satu tempat ke satu tempat. Konsep beg sepatutnya begitu. Tidak perlu untuk beli beg untuk setiap perkara seperti beg travel khas, beg baju khas, beg bayi khas. Cukup satu benda untuk semua perkara.

Pilihan di tangan anda. Anda boleh berjimat untuk masa depan anda yang lebih tenang.

Terima kasih kerana membaca Cara Jimat Duit - 27 Cara Yang Mudah Untuk Diamalkan. Jika anda ada cara yang lebih berkesan, kongsikan di ruangan komen.

2 ulasan:

  1. saya jimat perbelanjaan dengan berfikir banyak kali sebelum membeli..

    BalasPadam
    Balasan
    1. Tahniah kerana berfikir sebelum membeli :-) memang sepatutnya dijadikan amalan semua orang..perlu fikirkan benda yang nak dibeli adalah suatu keperluan atau kemahuan..jika keperluan boleh la beli..kalau kemahuan mungkin boleh tunda dulu..

      Padam

Back To Top