Cara Menjana Pendapatan Pasif - Rahsia Kebebasan Kewangan

 Cara Menjana Pendapatan Pasif

Apakah definasi sebenar pendapatan pasif? Jika anda fikir bahawa pendapatan pasif adalah pendapatan yang diperolehi tanpa anda membuat sebarang kerja (goyang kaki), anda sebenarnya sudah agak lari daripada konsep dan definasi sebenar pendapatan pasif. Bagi saya, pendapatan pasif adalah pendapatan yang diperolehi secara berterusan walaupun kita telah berhenti melakukan kerja. Ini bermakna, pendapatan pasif tetap bermula dengan bekerja dan kemudian apabila kerja tersebut telah stabil barulah ianya menjadi pendapatan pasif kepada seseorang.

Jika anda pernah mendengar atau membaca nasihat daripada mana-mana penasihat kewangan serta tokoh terkenal, mereka akan memberitahu kita bahawa untuk mencapai kebebasan kewangan, kita mestilah mempunyai pendapatan pasif yang cukup dan melebihi perbelanjaan kita. Tiada siapa yang tidak mahukan kebebasan kewangan, kan? Tapi saya yakin tidak ramai yang betul-betul mampu melakukannya.

Secara umumnya, pendapatan yang kita semua perolehi boleh dikategorikan kepada beberapa bahagian iaitu pendapatan aktif, pendapatan pasif dan pendapatan portfolio.

1. Pendapatan Aktif 

Pendapatan aktif adalah pendapatan yang kita perolehi hasil daripada kerja-kerja yang kita lakukan setiap hari. Pendapatan aktif tidak akan diperolehi sekiranya kita berhenti kerja. Untuk kebanyakan orang, ini adalah cara mereka mendapatkan pendapatan setiap bulan. Pendapatan aktif biasanya adalah tetap dan boleh memperoleh kenaikan gaji dan juga kenaikan pangkat, walaubagaimanapun pendapatan aktif adalah terhad mengikut kerja yang anda lakukan sahaja. 

Perniagaan yang kecil juga dikategorikan sebagai pendapatan aktif kerana jika kita tidak berniaga, kita tidak akan mendapat keuntungan. Tetapi perniagaan yang berjaya boleh menjana pendapatan pasif.


2. Pendapatan Portfolio 

Pendapatan jenis ini merupakan faedah, dividend dan keuntungan modal yang datangnya daripada pemilikan pelaburan di bursa saham, bon dan saham amanah. Contoh lain pendapatan porfolio adalah melalui Simpanan Tetap, Tabung Haji, Unit Amanah dan sebagainya. Penyimpan akan mendapat pulangan bergantung kepada keuntungan tempat yang dilaburkan. Pendapatan ini kadangkala disalah anggap sebagai pendapatan pasif. 

Pendapatan jenis ini terdedah dengan risiko ekonomi dan mungkin boleh menyebabkan kerugian yang agak besar jika tidak dikendalikan dengan baik.

3. Pendapatan pasif 

Pendapatan pasif pula adalah pendapatan yang diterima setelah membuat kerja dan pelaburan awal terlebih dahulu dan kemudiannya terus mendapat pendapatan berterusan walaupun penglibatan secara terus daripada pemilik bisnes semakin berkurangan. Pendapatan pasif biasanya memerlukan kerja keras (dan bijak) pada peringkat awalnya sebelum pendapatan secara berterusan diperolehi.

Setiap orang boleh memilih untuk mendapat pendapatan dari satu jenis kategori sahaja ataupun kita boleh berusaha untuk memperolehi pendapatan dari ke tiga-tiga jenis pendapatan yang saya nyatakan di atas. 

Kenapa perlu pelbagai pendapatan?

Sepertimana yang kita ketahui, pendapatan aktif memerlukan masa dan tenaga kita. Melalui pendapatan aktif juga, kita hanya akan dapat gaji sekiranya kita terus bekerja. Begitu juga dengan pendapatan peniaga kecil. Bagaimana jika anda tiba-tiba tidak dapat bekerja? Dari manakah anda nak dapatkan pendapatan? Disitulah pentingnya kita untuk mempelbagaikan jenis dan sumber pendapatan.

Contoh lain yang kita boleh perhatikan adalah dalam kalangan pesara. Ramai yang pada mulanya tidak bekerja pada awal persaraan. Tetapi selepas dua atau tiga tahun, mereka kembali bekerja kerana tahap kewangan mereka telah menyusut semula. Justeru pendapatan pasif penting untuk membolehkan seseorang terus meraih pendapatan walaupun tidak lagi bekerja.

Cara untuk menjana pendapatan pasif ialah:

1. Hartanah 

Cara Menjana Pendapatan Pasif

Pelaburan Hartanah adalah apa yang kebanyakan orang fikirkan apabila bercerita tentang pendapatan pasif. Tetapi, ia hanya dianggap pendapatan pasif apabila sewa yang anda terima adalah lebih tinggi daripada pinjaman perumahan, cukai, kos penyelenggaraan dan perbelanjaan yang terlibat. Jika tidak, sewa hartanah anda hanyalah merupakan liabiliti atau hutang. 

Jika anda bercadang untuk memulakan perjalanan bebas kewangan dengan hartanah, anda perlu belajar selok belok tentang hartanah kerana ianya melibatkan kos permulaan yang agak tinggi dan jika salah langkah, anda boleh kerugian ribuan ringgit.

2. Menjadi Seorang Penulis Buku

Cara Menjana Pendapatan Pasif

Menjadi penulis merupakan salah satu cabang untuk menjana pendapatan pasif. Setiap buku yang dihasilkan dan dijual akan memberikan penulisnya royalti. Ini bermakna penulis hanya perlu tulis sekali buku tetapi duit royalti akan terus masuk setiap kali buku tersebut dijual di pasaran. 

Walaupun penghujungnya nampak menarik, tetapi tugas seorang penulis amat mencabar pada permulaan penulisan buku. Seorang penulis buku mungkin menghabiskan masa berbulan-bulan untuk memerah idea untuk menghasilkan sebuah buku.

3. Menjadi seorang penulis Ebook

Cara Menjana Pendapatan Pasif

Selain menjadi penulis buku fizikal, penulis buku digital atau juga dikenali sebagai ebook sebenarnya mempunyai peluang untuk menjana pendapatan pasif. Bagi ebook yang diterbitkan oleh syarikat penerbitan, pendapatan penulis adalah berdasarkan royalti buku tersebut. Selain menerbitkan ebook melalui syarikat penerbitan, ramai juga yang memilih untuk self publish ebook yang ditulis. 

Ada juga yang menyertai syarikat penerbitan ebook dan affiliate seperti Klikjer untuk memudahkan penjualan dan menjana pendapatan secara automatik. Apabila ebook disenaraikan dalam laman Klikjer, ramai yang akan membantu penulis ebook untuk mempromosikan ebook tersebut melalui program affiliate. 


4. Tulis blog atau niche site

Cara Menjana Pendapatan Pasif

Menulis blog atau niche site (laman khusus untuk sesuatu topik) jika dilakukan dengan betul boleh memberikan kita pendapatan pasif. Pendapatan pasif melalui blog diperolehi melalui program affiliate dan iklan. Walaubagaimanapun, untuk sesuatu blog mencapai tahap menjana pendapatan melalui pendapatan pasif secara sepenuhnya adalah sukar kerana setiap blog memerlukan menyelenggaraan dan perlu dikemaskini secara kerap dan blog perlu di promosikan dengan betul untuk memastikan maklumat yang disampaikan dalam blog dapat dibaca oleh lebih ramai pembaca.

5. Berniaga Secara Automatik

Cara Menjana Pendapatan Pasif

Berniaga secara automatik adalah konsep perniagaan yang menggunakan mesin self servis seperti mesin air minuman, telefon awam, dobi layan diri, mesin permainan kanak-kanak. 

Perniagaan jenis ini tidak memerlukan pekerja dan hanya memerlukan modal untuk mesin yang akan digunakan. Peniaga hanya perlu letakkan mesin-mesin tersebut di tempat yang strategik dan penjualan akan dapat dilakukan secara berterusan tanpa perlu pemilik mesin berada ditempat perniagaan. 

Tetapi peniaga jenis ini perlu mengambil risiko berlakunya vandalism terhadap mesin mereka dan bersedia untuk kos penyelenggaraan dan kerosakan untuk mesin-mesin tersebut.

6. Bina Satu Bisnes Yang Berjaya

Cara Menjana Pendapatan Pasif

Bisnes yang dapat menjana pendapatan pasif merupakan satu bisnes yang boleh dijalankan dengan atau tanpa penglibatan yang banyak daripada pemilik perniagaan. Sebagai contoh mudah adalah perniagaan makanan seperti KFC, Mc Donald dan lain-lainnya. 

Kita tidak pernah melihat pemilik perniagaan makanan tersebut pun di kedai-kedai yang ada. Ini menunjukkan sistem yang diterapkan dalam perniagaan tersebut telah berjaya menjana pendapatan secara pasif. 

Saya pernah baca buku yang ditulis oleh Ainon Mohd yang bertajuk Memulakan Bisnes Sendiri, dalam buku tersebut banyak pelajaran dari pengalaman sebenar tentang selok belok untuk membina perniagaan yang berjaya. Bagi saya, siapa yang nak mulakan bisnes, perlu membaca buku tersebut.

Senang ke nak menjana pendapatan pasif?

Kita perlu sentiasa ingat bahawa pendapatan pasif tidak semestinya bermaksud tiada langsung penglibatan daripada kita. Dalam kebanyakan keadaan, proses untuk menjana pendapatan secara pasif akan melibatkan satu pelaburan awal yang besar sama ada dari segi kewangan, tenaga, masa atau ketiga-tiganya, tetapi untuk jangka masa panjang, pelaburan tersebut dapat membuahkan hasil secara konsisten walaupun penglibatan secara minimum daripada kita.

Kenapa perlu pendapatan pasif?

Langit tidak selalu cerah. Air tidak selalu tenang. Jadi kita perlu bersedia untuk menhadapi sebarang kemungkinan dengan menyediakan pendapatan tambahan melalui pendapatan pasif. Sekiranya secara tiba-tiba kita tidak dapat bekerja, kita masih mempunyai sumber pendapatan.

Bagi saya sendiri, menjana pendapatan secara pasif adalah matlamat saya sejak dulu lagi. Dan saya memilih untuk melakukannya melalui penulisan saya di blog. Tujuan utama saya membina sistem untuk pendapatan pasif adalah untuk membolehkan saya 'membeli masa' untuk bersama keluarga.

Setiap hari, masa yang diluangkan bersama keluarga dan anak-anak hanyalah antara 4-5 jam sahaja sehari daripada 24 jam yang telah diperuntukkan untuk semua orang. Matlamat saya adalah untuk menjana pendapatan secara pasif dan dalam masa sama dapat menghabiskan masa bersama anak-anak dan keluarga.

Itu adalah alasan utama saya untuk berusaha menjana pendapatan secara pasif. Mungkin anda ada alasan anda sendiri mengapa anda inginkan pendapatan pasif. 

Apa tunggu lagi, mulakan langkah pertama anda dalam menjana pendapatan pasif!

Terima kasih kerana membaca Cara Menjana Pendapatan Pasif. Apakah cara pilihan anda untuk menjana pendapatan secara pasif? Kongsikan diruangan komen :-)
Back To Top