Sebenarnya demam bukanlah satu penyakit, tetapi demam biasanya merupakan simtom kepada penyakit lain seperti jangkitan kuman dan sebagainya. Demam juga sebenarnya menandakan bahawa tubuh badan kita sedang berusaha untuk melawan penyakit yang sedang dialami oleh badan kita. Walaubagaimanapun, ianya perlu diuruskan dan dirawat dengan baik untuk mengelakkan demam tersebut berlanjutan dan mungkin boleh membahayakan.Â
Ini amat penting sekiranya demam berlaku pada bayi atau kanak-kanak. Pada tahap permulaan anak kita mengalami demam, kita boleh memberikan rawatan awal di rumah. Sebelum saya kongsikan lebih lanjut tentang cara merawat demam bayi dan kanak-kanak di rumah, ada beberapa persoalan yang perlu kita fahami terlebih dahulu.
Berapa suhu anak kita?
Demam ditentukan dengan peningkatan suhu badan. Secara fizikalnya, kita dapat rasakan peningkatan suhu badan bayi dan kanak-kanak melalui sentuhan dibahagian dahi dan juga dibahagian bawah leher anak kita. Tetapi cara terbaik untuk mengukur tahap suhu badan bayi dan kanak-kanak adalah dengan menggunakan termometer. Terdapat pelbagai jenis termometer boleh digunakan sama ada yang manual atau automatik. Secara umumnya, jika suhu anak anda melebihi 37.5 darjah Celcius, anak anda dikategorikan sebagai demam.
Berapa kerap nak periksa suhu?
Periksa suhu anak sekerap yang mungkin. Jika perlu, rekodkan suhu anak untuk pemantauan. Ini adalah penting untuk melihat trend suhu anak kita.Â
Sudah berapa hari anak kita demam?
Demam yang normal biasanya akan reda dalam jangka masa 3-5 hari. Sekiranya anak anda demam melebihi 5 hari, anda perlu bawa anak anda ke klinik berhampiran untuk pemeriksaan dan rawatan lanjut.Â
Bila perlu pergi klinik?
Walaupun artikel ini membincangkan tentang cara merawat demam bayi dan kanak-kank dari rumah, artikel ini tidak sama sekali menghalang atau cuba untuk mempengaruhi anda supaya jangan pergi ke klinik. Ada beberapa perkara yang perlu anda tahu, sekiranya kelihatan pada anak anda yang demam, anda perlu bawa anak anda ke klinik berhampiran dengan segera.
- Muncul bintik-bintik merah pada badan
- Suhu badan anak mencapai 40 darjah Celcius (38 darjah Celcius untuk bayi)
- Anak kelihatan lesu dan tidak bemaya untuk bermain
- Anak tidak mahu makan dan minum
- Demam melebihi 5 hari
- Anak mengalami masalah lain seperti semput dan sesak nafas
- Badan anak mengalami sebarang bengkak atau bintat
- Anak mengalami sawanÂ
Ok?
Jom saya kongsikan Cara Merawat Demam Bayi dan Kanak-Kanak di rumah.
1. Mandikan
Walaupun tiada kajian khusus yang menunjukkan bahawa dengan memandikan anak yang demam dapat menyebuhkan badan, tetapi dengan memandikan anak kita akan sedikit menyejukkan badan anak kita. Tetapi jangan mandikan anak anda dengan air yang terlalu sejuk kerana ia boleh menyebabkan penurunan suhu badan mendadak dan ini juga tidak baik untuk anak anda. Cukup dengan memandikan anak anda seperti biasa.
2. Pakai Baju yang Nipis
Baju yang tebal akan menyebabkan anak kita yang demam dalam keadaan yang kurang selesa. Baju yang nipis juga akan memudahkan mengaliran udara dan menyejukkan badan anak anda.Â
3. Basahkan badan
Ambil tuala dan lapkan badan anak anda dengan air biasa untuk menyejukkan badan mereka. Ini juga akan memberikan keselesaan kepada anak anda.
4. Tuam Sejuk
Basahkan tuala dan letakkan pada dahi anak anda. Atau anda boleh beli hot & cold pack daripada mana-mana kedai farmasi.
5. Cool fever
Nak lebih mudah? Beli lah cool fever untuk merawat anak anda yang demam.
6. Air asam jawa
Ini petua yang diamalkan selalu oleh mak saya sendiri semasa kecil dan ianya berkesan pada diri saya. Bancuh sedikit asam jawa beserta sedikit bawang dengan sedikit air, kemudian basahkan rambut anak kita dengan air asam jawa tersebut. Lakukan dengan kerap. Jika anda nak cuba dipersilakan.
7. Minum yang mencukupi
Anak yang demam biasanya tidak lalu makan. Tetapi pastikan anak kita dapat cecair yang mencukupi sama ada daripada susu atau air-air lain terutamanya air masak. Ini adalah penting untuk memastikan anak kita sentiasa bertenaga dan tidak dihidrat (kurang air).
8. Bagi Ubat Demam
Ubat demam yang biasa digunakan adalah Paracetamol atau lebih dikenali sebagai Panadol. Ubat ini selamat digunakan pada bayi dan kanak-kanak jika diberikan dengan dos yang betul. PASTIKAN anda mendapatkan nasihat daripada ahli farmasi atau doktor sebelum memberikan ubat demam kepada anak anda. Ubat demam boleh diberikan selain daripada melakukan perkara-perkara di atas. Di siang hari, berikan anak anda makan ubat demam cecair dan pada sebelah malam sebelum tidur jika anak anda masih demam boleh berikan anak anda Paracetamol dalam bentuk Suppositori.
Kini ramai yang tidak mahu menggunakan Ubat demam dengan alasan untuk merawat anak secara 'alami', tetapi sebenarnya ubat demam adalah perlu untuk membantu sistem imunisasi anak kita melawan penyakit dan melegakan demam.
Cadangan saya, jika bayi atau anak anda demam, lakukan kesemua cara di atas sebagai rawatan awal untuk demam anak anda. Jika demam anak anda berlarutan, dapatkan rawatan lanjut di klinik yang berhampiran.
Terima kasih kerana membaca Cara Merawat Demam Bayi dan Kanak-kanak Di Rumah. Anda ada tips dan petua lain dalam merawat anak demam di rumah? Kongsikan di ruangan komen :-)