Membaca Al Qur'an adalah salah satu perkara yang perlu diperbanyakkan terutamanya di dalam bulan Ramadhan. Saya pasti semua orang tahu bahawa membaca satu huruf dalam Al Quran akan diberikan 10 ganjaran dan ganjaran itu akan digandakan pada bulan Ramadhan. Jadi kita perlu mengambil peluang ini untuk memperbanyakkan bacaan Al Quran supaya Ramadhan yang kita lalui lebih bermakna dan lebih mendatangkan kesan ke atas diri kita.
1. Tetapkan Matlamat
Pasangkan niat untuk membaca Al Quran dan mengkhatamkannya dalam masa satu bulan. Ini bermakna, kita perlu habiskan sekurang-kurangnya satu juzuk setiap hari dalam bulan Ramadhan jika kita nak khatam Al Quran di penghujung bulan Ramadhan. Sesungguhnya hanya orang yang mempunyai niat dan matlamat akan cuba untuk mencapai matlamat tersebut.Â
2. Tetapkan jangka masa
Setelah menetapkan niat dan juga matlamat, kita perlu tetapkan jangka masa yang mampu kita baca setiap hari. Seorang tahfiz biasanya boleh menghabiskan satu juz dalam masa setengah jam. Tetapi untuk orang awam seperti kita, untuk menghabiskan satu juzuk biasanya mengambil masa lebih kurang satu jam. Jadi kita hanya perlu memperuntukkan satu jam daripada 24 jam sehari untuk membaca Al Quran. InsyaAllah matlamat kita boleh tercapai.
3. Tetapkan waktu
Kita telah tahu bahawa untuk menghabiskan satu juzuk memakan masa lebih kurang satu jam. Jadi kita mempunyai pilihan untuk membaca satu jam terus atau bahagikan waktu tersebut kepada beberapa waktu kecil.Â
Sebagai contoh, kita boleh pecahkan satu jam tersebut kepada 4 bahagian (15 minit setiap satu sesi). Kemudian kita baca Al Quran 15 minit setiap kali selepas solat untuk mencapai matlamat kita untuk menghabiskan satu juz setiap hari. Kita juga boleh pilih untuk 'marathon' satu jam untuk menghabiskan satu juzuk. Jika itu pilihan anda, saya cadangkan anda baca selepas bangun sahur.
4. Jenis Al Quran Per Juzuk
Bentuk Al Quran yang digunakan juga sedikit sebanyak memainkan peranan untuk membantu kita bersemangat untuk khatam Al Quran dalam bulan Ramadhan. Saya cadangkan menggunakan Al Quran yang dibahagikan dan dibukukan mengikut juzuk. Ini bermakna setiap juzuk akan dibukukan secara berasingan.
Jika kita bekerja, kita boleh bawa satu juzuk ke tempat kerja dan membacanya semasa waktu rehat. Ini akan memudahkan dan mempercepatkan kita untuk mencapai matlamat. Dalam masa sama kita boleh tahu progres bacaan kita.
Itulah 4 cara untuk kita dapat mengkhatamkan Al Quran dalam bulan Ramadhan. Tetapi tahukan anda bahawa ada satu lagi perkara yang lebih penting dari hanya sekadar mengkhatamkan Al Quran?
Apa yang lebih penting daripada khatam?
Fahaminya. Tiada yang lebih penting daripada memahami dan juga mengamalkan segala ajaran yang ditunjukkan di dalam Al Quran.
Semoga kita berjaya untuk mengkhatamkan Al Quran pada bulan Ramadhan kali ni dan seterusnya tergolong daripada orang-orang yang mendapat syafaat daripada Al Quran.
InsyaAllah..