Cara Paling Mudah Buat Bajet Kewangan


Apa itu bajet kewangan? Secara umumnya, apabila kita bercakap berkaitan bajet kewangan, ramai yang berpandangan bahawa bajet adalah sesuatu yang menyusahkan dan leceh. Sebelum ini, perkara pertama yang bermain dalam fikiran saya apabila memikirkan tentang bajet adalah dengan menjadi kedekut dan tidak menggunakan duit untuk berbelanja. Tetapi sebenarnya, maksud sebenar melaksanakan bajet kewangan bukanlah sepertimana yang saya fikirkan.

Bajet, jika kita lihat dari sudut persepsi pakar kewangan adalah merupakan salah satu kaedah bagaimana menggunakan duit yang ada pada kita dengan lebih bijak dan berhemah. Bajet juga akan membantu kita untuk memantau aliran tunai kita setiap bulan.

Bajet boleh dilakukan sama ada bajet tahunan dan bajet bulanan. Kedua-duanya penting kerana ada perbelanjaan yang hanya beberapa kali setahun dan dalam kebanyakan masa, perbelanjaan berkala inilah yang akan 'menyukarkan' aliran tunai seseorang kerana mereka kerap 'terlepas pandang' perbelanjaan-perbelanjaan tersebut.

Cara Terbaik untuk buat bajet kewangan adalah dengan:

1. Menyediakan & Menulis Bajet

Pada saya, bajet mestilah bertulis! Bajet tidak boleh hanya berada difikiran atau dicongak-congak. Anda juga ada pilihan untuk menggunakan aplikasi telefon pintar sebagai ganti untuk bajet bertulis, tetapi saya lebih memilih untuk membuat bajet secara bertulis kerana lebih 'nyata' dan lebih mudah dipantau. Semasa menulis bajet, anda beberapa perkara yang perlu anda senaraikan.

  • Perbelanjaan
  • Simpanan
Perbelanjaan merangkumi bil-bil, hutang dan perbelanjaan harian kita. Senaraikan setiap kategori secara terperinci dan letakkan nilai bayaran untuk setiap kategori. 

Simpanan hendaklah dilakukan secara konsisten sebelum lakukan perbelanjaan. Formula yang kerap digunakan adalah:

Gaji - Simpanan = Perbelanjaan

Sebaik-baiknya simpanan adalah 10% atau lebih dari gaji anda. Jika rasa sukar, simpanlah sedikit walaupun RM50 sebulan tetapi pastikan konsisten. Duit simpanan tersebut disimpan di dalam akaun yang tidak mudah untuk dikeluarkan. 

Ada pelbagai cara untuk melaksanakan bajet tetapi 2 cara yang suka saya gunakan dan saya memang amalkan adalah dengan menggunakan konsep sampul surat dan konsep satu akaun untuk setiap kategori utama.



2. Merekod & Memantau Bajet

Bagi membina satu bajet yang konsisten dan berkesan, kita perlulah sentiasa merekod setiap transaksi yang kita lakukan. Ini adalah penting untuk memastikan kita tahu ke mana perginya duit-duit kita. 

Cara paling mudah adalah dengan menyimpan resit pembelian setiap kali kita membeli sesuatu. Tidak kiralah dari perbelanjaan untuk sekecil kecil perkara sehingga perkara yang besar. 

Kita juga boleh merekod secara maya dengan menggunakan aplikasi android, perisian komputer ataupun dengan hanya menggunakan template bajet Excel. Apa yang penting adalah rekod yang dibuat dapat membantu kita mengesan perbelanjaan yang kita lakukan.


Contoh Template Bajet Yang boleh didapati di Vertex42.com

3. Mengemaskini & Mengolah Bajet  

Pada awal mengamalkan bajet, kita akan dapati ada beberapa perkara yang perlu kita olah untuk memberikan keseimbangan antara bajet yang kita buat dan juga kehidupan seharian kita.

Sebagai contoh, katakan pada permulaan membuat bajet kita hadkan penggunaan untuk perbelanjaan persekolahan anak-anak adalah RM500 setiap bulan. Tetapi setelah kita laksanakan bajet dan merekod bajet, kita dapati perbelanjaan sekolah anak-anak sebenarnya RM600 sebulan dan ianya telah konsisten dengan nilai tersebut untuk beberapa bulan. 

Jadi kita ada pilihan untuk meningkatkan bajet bulanan bagi perbelanjaan persekolahan, dan mungkin juga kita perlu turunkan bajet di kategori perbelanjaan yang lain untuk menampung peningkatan tersebut. Atau kita perlu dapatkan pendapatan tambahan sebanyak RM100 sebulan untuk menampung kos tersebut. 

Ok?

Itulah tiga langkah utama cara untuk buat bajet kewangan. Tidak dinafikan, menyediakan bajet itu lebih mudah berbanding melaksanakannya. 

Bagi mendapatkan maklumat serta ilmu tambahan berkaitan kewangan, saya cadangkan juga anda untuk memperbanyakkan membaca buku-buku kewangan. Contoh buku yang saya gemari adalah:

Rancang Wang Dari Sekarang 
















Urus Wang Semasa Gawat
















Cukupkah Wang Anda?
















dan buku kegemaran saya adalah..

Rich Dad Poor Dad















Anda mungkin ada pilihan tersendiri ;-)

Jika anda mempunyai masalah kewangan yang kronik, saya nasihatkan untuk anda mendapatkan nasihat dari pakar kewangan atau agensi penasihat kewangan seperti AKPK untuk mendapatkan nasihat terbaik dalam situasi anda.

Terima kasih kerana membaca Cara Paling Mudah Buat Bajet Kewangan. Sekiranya anda ada sebarang perkongsian, boleh dikongsikan di ruangan komen :-)
Back To Top