Cara Memilih Dan Membeli Kereta Pertama Anda

Cara Memilih Dan Membeli Kereta

Cara Memilih Dan Membeli Kereta. Perkara utama yang biasanya dibeli oleh graduan muda yang baru mendapat kerja adalah kereta. Ini mungkin kerana kereta itu dianggap sebagai lambang seseorang itu sudah mempunyai kerjaya. Bagi yang masih berfikir-fikir untuk membeli kereta, ikuti cara memilih dan membeli kereta ini agar anda membeli kenderaan mengikut kemampuan dan keperluan anda.

Ada beberapa perkara yang perlu anda pertimbangkan sebelum memilih dan membeli kereta:

Keperluan

Perkara pertama yang perlu anda fikirkan adalah sejauh mana keperluan anda untuk membeli kereta. Jika ketika ini anda boleh hidup dengan menggunakan motosikal, mungkin belum tiba masanya untuk anda membeli sebuah kereta.

Persoalan-persoalan lain yang boleh anda tanya kepada diri sendiri untuk memastikan sama ada kereta yang anda ingin beli merupakan satu keperluan atau kemahuan adalah:
  • Siapa yang nak naik kereta?
  • Berapa ramai yang nak naik?
  • Berapa jauh rumah dan tempat kerja?

Duit Muka

Downpayment atau duit muka adalah penting untuk menentukan bahawa kita mampu untuk membeli kereta. Sangat tidak digalakkan untuk membei dengan membuat pinjaman penuh (full loan) bank kerana masa yang diambil untuk bayar balik adalah panjang dan bayaran bulanan adalah tinggi. Soalan yang perlu anda tanya kepada diri sendiri:
  • Berapa simpanan saya untuk downpayment?
  • Selepas membayar downpayment, ada tak lagi simpanan lain untuk kecemasan?
  • Berapa tahun bayaran kereta saya?


Bayaran Bulanan

Jumlah hutang dan lain-lain bayaran seelok-eloknya tidak melebihi 30% daripada gaji kita. Bayaran bulanan kereta adalah hutang jangka masa panjang yang mesti dilunaskan setiap bulan. Tidak kira sama anda anda guna atau tidak kereta anda, bayaran bulanan tetap perlu dibayar. Soalan yang perlu ditanyakan kepada diri sendiri:

  • Berapa peratus jumlah hutang saya berbanding gaji?
  • Berapa bayaran bulanan yang saya mampu bayar?
  • Adakah bayaran bulanan kereta akan menjejaskan bajet bulanan saya?

Insuran dan Cukai

Setiap kenderaan mestilah membayar cukai jalan dan insuran setiap tahun. Jika anda menggunakan kereta, secara automatik, terdapat perbelanjaan tambahan setiap tahun yang perlu anda fikirkan. Lagi besar kereta anda, lagi banyak yang perlu anda bayar setiap tahun. Soalan yang perlu anda tanya kepada diri sendiri:


  • Adakah saya mampu untuk bayar cukai dan insuran setiap tahun?
  • Berapa bayaran cukai dan insuran yang mampu dibayar?


Servis dan penyelenggaraan

Pada saya, bab servis dan penyelenggaraan adalah perkara yang paling penting bagi yang mempunyai kereta. Tambahan lagi jika tidak banyak perkara yang anda tahu tentang kereta, penyelenggaraan berjadual adalah sesuatu yang sangat penting. Jika sesuatu berlaku di jalan raya oleh kerana kereta tidak diselenggara dengan baik pastinya akan memerlukan perbelanjaan yang lebih banyak untuk memperbaiki kereta anda. Jadi perkara yang anda perlu fikirkan adalah:


  • Adakah anda ada tabung kecemasan jika sesuatu berlaku pada kereta anda?
  • Adakah anda dapat menyelenggara kereta anda mengikut jadual?
  • Bolehkah anda sediakan beberapa ratus setiap beberapa bulan untuk kos penyelenggaraan kereta anda?


Saiz Kenderaan

Saiz kereta juga antara perkara yang perlu dipertimbangkan dalam pemilihan kereta. Jika anda masih bujang, cukuplah membeli kereta yang kecil yang cukup memuatkan beberapa orang dan juga ibu bapa. Untuk memilih saiz kereta, tanya soalan berikut kepada diri sendiri:


  • Berapa ramai ahli keluarga anda?
  • Berapa kerap kereta anda digunakan?
  • Lagi besar kereta, lagi banyak penggunaan minyak.


Duit Minyak

Jika anda sudah mempunyai kereta, bajet untuk duit minyak bulanan perlu dimasukkan dalam salah satu kategori bajet anda. Ini adalah penting untuk memantau penggunaan minyak kereta anda. Sebelum membeli kereta, anda perlu fikir:


  • Berapa yang saya boleh peruntukan untuk kos minyak bulanan?
  • Berapa jauh perjalanan antara rumah dan tempat kerja?


Saman

Nak atau tidak, setiap orang pastinya pernah di saman. Tidak kira sama ada anda disama oleh sebab membawa melebihi had laju atau melanggar lampu isyarat, saman adalah salah satu kos bagi mereka yang mempunyai kenderaan. 


Terpakai atau Baru

Inilah persoalan yang kerap ditanyakan apabila seseorang ingin membeli kereta. Pada saya, kereta terpakai sangat baik untuk mereka yang baru nak memulakan kerja kerana harganya yang jauh lebih murah. Walaubagaimanapun, bagi mereka yang tidak banyak tahu berkenaan kereta, membeli kereta terpakai agak berisiko kerana adanya risiko kerosakan. 

Kereta baru sememangnya lebih menarik perhatian. Tambahan lagi, hampir setiap tahun ada keluaran kereta baru dari pelbagai jenama kereta. Membeli kereta baru pula dipermudahkan dengan full loan dan pelbagai skim graduan yang ada. Tetapi, satu kekurangan membeli kereta baru adalah ia akan menyebabkan anda mula berhutang dalam jangka masa panjang.

Bagi saya sendiri, lebih baik membeli kereta terpakai yang masih elok secara tunai dan buat simpanan duit untuk pelaburan atau mengembangkan kerjaya.

Ok?

Alangkah baiknya jika saya tahu berkenaan perkara-perkara ini semasa saya nak membeli kereta pertama saya pada tahun 2010 dahulu. Apa yang saya cuba sampaikan adalah, membeli kereta bukan hanya sekadar untuk gaya dan keperluan, tetapi ianya hadir bersama kos-kos yang kadang kala lupa untuk dipertimbangkan semasa membuat pemilihan kereta anda.

Terima kasih kerana membaca Cara Memilih Dan Membeli Kereta Pertama Anda.
Back To Top