Cara Melaksanakan Solat Jamak dan Qasar



Solat Jama' dan Qasar adalah satu kemudahan yang diberikan kepada orang-orang yang bermusafir dan juga pada keadaan-keadaan yang tertentu. Tetapi saya pasti masih ada yang teragak-agak untuk melakukannya kerana kurang ilmu dalam melaksanakannya. Terdapat pelbagai persoalan yang kerap ditanyakan berkenaan cara dan syarat untuk melaksanakan solat jama' dan qasar ini.

Sedikit ulangan berkenaan maksud Solat Jama' dan Qasar.

Solat Jama' adalah solat yang menghimpunkan 2 solat iaitu antara solat Zohor dan Asar atau antara Maghrib dan Isyak. Solat jama' boleh dilakukan di waktu mana sahaja antara dua waktu tersebut. Solat jama' terdiri daripada 2 jenis iaitu jama' takdim dan jama' takhir. 

Jama' takdim adalah apabila solat dihimpunkan pada waktu solat yang awal sebagai contoh menghimpun solat Zohor dan Asar pada waktu solat Zohor. 

Jama' takhir pula adalah apabila solat dihimpunkan pada waktu solat yang akhir sebagai contoh menghimpunkan solat Maghrib dan Isyak pada waktu solat Isyak.

Mengqasarkan solat pula adalah memendekkan solat yang mempunyai 4 rakaat kepada 2 rakaat. Oleh itu hanya solat Zohor, Asar dan Isyak sahaja yang boleh diqasarkan. Tiada qasar bagi solat Maghrib dan Subuh.

Saya bukanlah orang yang arif untuk membincangkan perkara berkaitan hukum hakam dalam mengerjakan solat jama' dan qasar, tetapi pada kali ini saya ingin kongsikan perbincangan berkaitan topik Solat Musafir yang telah keudara dalam program Nasi Lemak Kopi O baru-baru ini. Persoalan berkaitan solat musafir ini dikupas oleh Dr Zaharuddin bin Abd Rahman yang juga merupakan penulis bagi buku Formula Solat Sempurna.

Ok.

Nota Ringkas Episod 1:

  1. Seseorang dikira bermusafir apabila keluar dari kawasan qariahnya dengan jarak 2 marhalah (88 atau 89km). 
  2. Musafir boleh dilakukan tanpa mengira jenis kenderaan yang digunakan dan jarak perjalanan 2 marhalah adalah untuk perjalanan satu hala. 
  3. Sekiranya kita balik kampung (tempat kelahiran) yang melebihi 2 marhalah, kita masih boleh melakukan solat jamak dan qasar. Walaubagaimanapun, ianya bergantung kepada tempoh masa kita balik ke kampung. Sekiranya kita sudah menetapkan (berniat) untuk balik kampung selama 4 hari atau lebih (tidak termasuk hari pergi dan balik),  kita tidak boleh melakukan solat jamak dan qasar setelah sampai ke kampung, tetapi boleh melakukan jamak dan qasar semasa dalam perjalanan pergi dan balik. Sekiranya kurang dari 4 hari, solat jamak dan qasar boleh dilakukan dalam perjalanan pergi dan balik serta selama berada di kampung halaman.
  4. Solat Jamak bukanlah eksklusif untuk orang yang bermusafir. Orang yang mengalami kesukaran untuk solat disebabkan oleh sakit adalah diharuskan untuk menjamakkan solat fardhu.
  5. Solat jamak dan qasar merupakan pilihan yang boleh dibuat bagi setiap orang islam yang layak dan cukup syarat untuk melakukannya. 
  6. Dalam Mazhab As-shafie, diharuskan untuk menjamakkan solat fardhu Jumaat dengan solat Asar. Walaubagaimanapun, beberapa mazhab lain tidak mengharuskannya. 


Nota Ringkas Episod 2:

  1. Sedikit ulangan berkaitan maksud solat jamak dan qasar. Solat Jamak adalah menggabungkan solat Zohor dan Asar atau Maghrib dan Isyak. Manakala mengqasarkan solat adalah memendekkan solat-solat yang mempunyai 4 rakaat iaitu solat Zohor, Asar dan Isyak. Solat Qasar adalah khas ntuk mereka yang bermusafir manakala solat jamak adalah kemudahan untuk orang yang bermusafr dan juga oleh sebab-sebab lain selain musafir seperti sakit.
  2. Semasa menunaikan solat jamak takdim, kita hendaklah menunaikan solat pada waktu yang pertama terlebih dahulu (contoh: tunaikan solat Zohor dulu baru dijamakkan dengan solat Asar). Bagi solat jamak takhir, kita boleh melakukan mana-mana solat terlebih dahulu. 
  3. Sekiranya kita mula bermusafir sebelum waktu yang pertama (Zohor atau Maghrib) adalah lebih afdal untuk kita melaksanakan jamak takhir. Manakala, sekiranya ketika kita mula bermusafir telah masuk waktu solat yang pertama, adalah lebih afdal untuk melaksanakan solat jamak takdim.
  4. Kita hendaklah berniat (lintasan hati) untuk bermusafir dan berniat untuk melakukan solat jamak dalam waktu solat yang pertama (Zohor atau Maghrib). 


Nota Ringkas Episod 3:

  1. Setiap orang yang ingin mendapat keringanan untuk melakukan solat jamak dan qasar, kita mestilah tahu jarak dan destinasi yang dituju. Sekiranya ragu-ragu dengan destinasi, mereka tidak dikira sebagai bermusafir dan tidak boleh melakukan solat jamak dan qasar. 
  2. Bagi sesiapa yang bekerja sebagai pemandu (pemandu lori, bas, kapal terbang) yang sentiasa bergerak melebihi 2 marhalah diharuskan untuk mereka melaksanakan solat fardhu dengan jamak dan qasar semasa dalam perjalanan dan apabila tiba di destinasi (kecuali jika dah tahu akan menetap di tempat tersebut 4 hari atau lebih). Tetapi bagi yang pergi kerja setiap hari melebihi 2 marhalah, diharuskan untuk melakukan solat fardhu dengan jamak dan qasar semasa dalam perjalanan sahaja, tetapi perlu melakukan solat penuh apabila tiba ke tempat kerja.
  3. Sekiranya kita bermusafir dan tahu akan tinggal di destinasi tersebut selama 2 hari, tetapi oleh sebab tertentu (contoh : keluarga tiba-tiba sakit dan sebagainya) kita terpaksa memanjangkan masa tinggal di destinasi tersebut melebihi 4 hari, kita masih boleh melakukan solat fardhu dengan jamak dan qasa sehingga maksimum 18 hari.
  4. Bila orang bermusafir solat yang ingin solat qasar mendirikannya secara berjemaah di belakang orang bermukim, bagaimana? Menurut majoriti mazhab, wajib solat tamam jika sempat mendapat satu rakaat atau lebih, namun jika tidak dapat walau satu rakaat, mazhab Maliki tidak mewajibkan tamam dan boleh qasar.
  5. Jika jadi makmum kepada Imam yang tidak diketahui sedang musafir atau tidak (solat pula di kawasan perhentian seperti R&R atau surau stesyen bas, lapangan terbang etc), sedangkan kita bermusafir serta ingin solat qasar, kita diharuskan untuk qasar atas dasar musafir. Walaubagaimanapun, sekiranya selepas itu kita dapari imam bersolat penuh, kita perlu berniat infirad (putus dari imam) dan lengkapkan tashahud dan TIDAK beri salam seperti biasa dahulu. Kemudian harus terus duduk dalam posisi itu dan menunggu imam bagi mendapatkan salam bersama imam.Ada juga pendapat yang membenarkan terus memberi salam dan menghabiskan solat.
  6. Sekiranya kita melaksanakan solat jamak, kita perlu lakukannya secara berturut-turut iaitu solat Zohor kemudian terus diikuti oleh solat Asar. Sekiranya terdapat keperluan untuk mengambil wuduk atau melakukan perkara yang penting, dibenarkan untuk jangka masa sekadar masa mengambil wuduk. Sekiranya terlalu lama seperti berbual-bual di telefon, keharusan menjamakkan solat adalah terbatal dan perlu solat pada waktunya.
  7. Bagi mendapatkan kemudahan untuk melakukan solat fardhu dengan jamak dan qasar, musafir yang dilakukan hendaklah dengan tujuan yang diharuskan dan bukannnya untuk tujuan maksiat.
  8. Sepertimana yang telah di nyatakan sebelum ini, solat qasar adalah khas untuk orang yang bermusafir tetapi solat jamak bukan hanya terikat dengan musafir. Solat jamak boleh dilakukan atas sebab lain seperti kerana hujan (sila rujuk ustaz untuk penjelasan lanjut), kerana sakit, kerana haji, kerana keperluan yang tidak dapat dielakkan sebagai contoh doktor yang akan menjalankan pembedahan dalam tempoh masa yang panjang. 

Ok?

Itulah sedikit intisari perbincangan berkaitan solat jamak dan qasar. Sekiranya terdapat sebarang kemusykilan boleh baca buku tentang solat jama dan qasar seperti buku Soal Jawab Solat Musafir atau boleh terus bertanya dengan ustaz berhampiran dengan anda



2 ulasan:

Back To Top