Cara Asas Membela Ikan Hiasan Di Rumah

Cara Asas Membela Ikan Hiasan Di Rumah

Cara Asas Membela Ikan Hiasan Di Rumah. Saya tak pernah bela ikan hiasan di rumah sebelum ini. Tetapi baru-baru ini saya ada beli set akuarium untuk anak-anak saya. Sebelum membeli tu banyak ilmu yang saya korek daripada pekedai tempat menjual akuarium dan ikan hiasan tu. Ini adalah untuk memastikan saya dapat menjaga ikan-ikan tersebut dengan baik. 

Ok.

Ini adalah apa yang saya belajar daripada kedai menjual akuarium dan ikan hiasan tu.

Saiz akuarium

Secara umumnya, akuarium yang bersaiz besar lebih mudah untuk diselenggara dan penjagaan ikan lebih mudah. Ini adalah kerana akuarium yang kecil mudah untuk berlaku perubahan pada keadaan air berbanding akuarium yan besar. Itu secara umumnya. Tapi bagi saya cukup dengan membeli akuarium yang sederhana besar. Jika rasa dah biasa dengan proses membela ikan, boleh upgrade bila-bila masa.

Kaca atau plastik

Akuarium plastik lebih murah. Tetapi akuarium kaca lebih cantik, lebih tahan lama dan lebih mudah dibersihkan. Jika anda baru nak belajar selok belok membela ikan perhiasan (seperti saya), saya cadangkan mulakan dengan akuarium plastik dahulu. Jika dah dapat feel membela ikandengan lebih serius, kemudian hari boleh tukar kepada akuarium kaca.

Pam Air dan Filter

Sebaik-baiknya beli pam yang mempunyai dwi fungsi ini iaitu mengalirkan air dan juga sebagai penapis. Ini adalah penting untuk memastikan air dalam akuarium sentiasa bersih. Di dalam penapis biasanya terdiri daripada span filter dan juga activated charcoal. Mengikut kata pekedai tu, aktivated charcoal perlu ditukar setiap satu atau 2 minggu, manakala filter tu boleh dicuci sahaja dan boleh ditukar setiap satu atau 2 bulan.

Rawatan air

Air untuk digunakan dalam akuarium hendaklah dirawat terlebih dahulu. Ini adalah kerana air paip biasa mengandungi klorin yang boleh membahayakan ikan. Kita perlukan ubat anti-klorin yang perlu dimasukkan ke dalam air untuk meneutralkan lebihan klorin dan juga logam berat. Selain itu juga, biasanya cecair anti-klorin ini juga ada dicampurkan dengan ubat penenang kepada ikan (mengelakkan ikan daripada stress). Kita hanya perlu letakkan beberapa ML ke dalam air akuarium. Harga satu botol cecair rawatan ini adalah lebih kurang RM16 untuk 120ml.

Garam Anti Bakteria

Boleh guna garam biasa tak? Sebenarnya ada garam khas yang perlu dicampurkan ke dalam air. Garam ini bertindak sebagai disinfectant dan memberikan persekitaran yang baik kepada ikan. Kuantiti yang perlu dimasukkan ke dalam air bergantung kepada kapasiti air dalam akuarium kita. Biasanya, masukkan satu sudu teh garam tersebut untuk 28 liter air atau kurang. Harga garam ni satu paket 1kg adalah lebih kurang RM3

Makanan ikan

Terdapat pelbagai jenis makanan ikan yang mempunyai tujuan tertentu. Sebagai contoh ada makanan yang fokus untuk tumbesaran ikan. Ada juga yang fokus pada menyerlahkan warna ikan. Tetapi apa yang lebih penting adalah makanan ikan yang dibeli bersesuai dengan saiz mulut ikan. Jika kita membela ikan yang kecil, belilah pallet yang halus. Selain itu pilih makanan ikan yang tidak mengeruhkan air akuarium. 

Ikan perlu diberi makan 2 atau 3 kali sehari. Tidak perlu beri makan terlalu kerap kerana jika makan terlalu kerap, ikan akan lebih kerap berkumuh dan ini akan menyebabkan air kelihatan tidak cantik. Jika akuarium yang besar, anda boleh gunakan alat memberi makan ikan automatik. Pada saya, bagi makan secara manual lebih seronok.

Cuci akuarium

Kekerapan mencuci akuarium bergantung kepada saiz akuarium. Untuk akuarium yang kecil, sebaik-baiknya seminggu sekali. Air tidak perlu ditukar keseluruhan air akuarium dengan air baru, cukup dengan menukar separuh (1/2) air dalam akuarium dengan air baru yang telah dirawat (point 4 dan 5). Kelebihan membela ikan dengan akuarium kecil adalah masa yang diambil untuk mencuci lebih cepat berbanding akuarium besar.

Antara tanda-tanda air perlu ditukar walaupun air masih jernih adalah apabila ikan sentiasa berada di atas untuk mengambil udara (kebanyakan ikan). Oleh itu saya cadangkan jadikan tabiat untuk tukar dan cuci akuarium seminggu sekali. Tak lama pun, boleh siap dalam masa 30 minit.

Bilangan Ikan

Jangan beli ikan terlalu banyak jika akuarium anda kecil. Ini untuk mengelakkan air mudah menjadi kotor dan juga memberi ruang kepada ikan untuk berenang dengan bebas. Selain itu, pada permulaan, bela ikan yang sama jenis sahaja. Jangan campur spesis ikan jika anda tidak tahu sifat semulajadi ikan tersebut. Ini adalah kerana ada ikan yang suka kacau ikan lain, ada yang makan ikan lain dan lain-lain perangai. 

Selain itu juga, jika anda baru membeli ikan dan akuarium, anda perlu sediakan air yang dirawat dan hidupkan pam dan biarkan air mengalir tanpa ikan dalam masa 15-30 minit sekurang-kurangnya. Ada kedai yang cadangkan biarkan sehingga seharian. Ini adalah untuk memastikan air dan bahan yang dicampurkan (garam, anti-clorin dan lain-lain) sebati.

Kemudian letakkan plastik yang membungkus ikan hiasan anda di atas air akuarium untuk menstabilkan suhu air dalam bungkusan dan juga akuarium. Tujuannya adalah untuk mengurangkan ikan stress apabila masuk ke dalam akaurium baru.

Ok.

Untuk membeli peralatan membela ikan hiasan kali pertama, saya cadangkan untuk pergi ke kedai ikan dan akuarium. Setelah itu, untuk barangan lain seperti makanan ikan, activated charcoal dan lain-lain boleh dibeli dari Lazada Malaysia sekiranya tidak sempat nak ke kedai ikan hiasan.

Itu adalah perkara asas yang perlu kita ketahui sebelum dan semasa membela ikan hiasan di rumah. Sekiranya ada mana-mana ilmu tentang penjagaan ikan hiasan yang tertinggal boleh dikemukakan di ruangan komen. 😊

4 ulasan:

  1. Assalamualaikum sya suka bela ikan... Sya bela guppy. Sya nak tnya kenapa ikan tak tahan lama...saya tak guna oksigen pon. Adakh sebab tu?
    Terima kasih.

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum sya suka bela ikan... Sya bela guppy. Sya nak tnya kenapa ikan tak tahan lama...saya tak guna oksigen pon. Adakh sebab tu?
    Terima kasih.

    BalasPadam

Back To Top