Cara Menghabiskan Cuti Sekolah Dengan Aktiviti Bermanfaat


Cuti sekolah pada pertengahan bulan ogos sudah mulai menghampiri para pelajar di setiap sekolah di Malaysia. Pasti banyak aktiviti yang akan dianjurkan oleh para ibu bapa diluar sana, memandangkan pada bulan Ogos itu juga umat islam akan menyambut Hari Raya Aidiladha. 

Namun, adakah semua ibu bapa sudah membuat persediaan untuk anak-anak mereka pada cuti sekolah itu? Perancangan dan persediaan amatlah penting bagi membentuk jati diri dan personality anak-anak anda. Elakkan daripada sikap tidak memperdulikan anak-anak anda dengan alasan sibuk berkerja demi menyara kehidupan sekeluarga. 

Anak-anak juga sangat memerlukan tumpuan dan sentuhan kasih sayang pada hari-hari yang tertentu. Lebih –lebih lagi sewaktu cuti sekolah yang agak panjang. Jadi perancangan dan persediaan yang akan ibu-bapa berikan amatlah penting untuk membentuk moral anak-anak anda dimasa akan datang. Dengan adanya sifat-sifat positif yang ditonjolkan ibu-bapa kepada anak mereka, sudah pasti mereka akan mudah untuk didekati walaupun umur mereka mulai meningkat saban hari. 

Di sini, saya ingin kongsikan kepada anda semua yang bergelar ibu-bapa, cara-cara bagaimana hendak menghabiskan sisa cuti sekolah dengan aktiviti yang bermanfaat dan ianya dapat memberikan anak-anak anda secebis ilmu dan pengalaman yang mungkin menarik. 




1) Kem


Kadang-kadang ada beberapa sekolah yang sudah membuat perancangan awal daripada ibu-bapa dulu untuk pengisian bagi cuti sekolah anak-anak muridnya. Saya cadangkan jika sekolah membuat aktiviti luar seperti kem ibadah, kem motivasi dan lain-lain, ibu-bapa patut menghantar anak-anak mereka untuk menyertai kem-kem tersebut. 

Kem seperti ini amat digalakkan kerana sarat dengan pengisian yang sangat berfaedah. Selalunya kem motivasi memfokuskan kem yang dijalankan ke arah sahsiah diri, kepimpinan, akademik dan sebagainya. Kem ibadah pula lebih kepada, memantapkan iman, mengajar peserta untuk solat dengan betul dan lain-lain.

Dengan bantuan kem-kem seperti ini, anak-anak anda tidaklah akan merasa bosan dan merasakan cuti sekolah akan memberi tekanan kepada kehidupan mereka. Kem seperti ini juga dapat membangunkan sahsiah dan moral diri seseorang individu. Jika anda seorang ibu bapa yang risau akan anak-anak anda dan tidak mahu menghantar anak-anak anda ke program yang berada diluar tidak mengapa masih banyak lagi aktiviti yang boleh dilakukan bersama sama dengan anak-anak anda semasa cuti sekolah. 


2) Berkebun


Selain beberapa aktiviti-aktiviti yang lain, aktiviti luar seperti berkebun mampu membuatkan cuti sekolah anak-anak anda sungguh bermakna da bermanfaat. Percayalah, anak-anak anda akan seronok bermain dengan pasir, air, pokok dan sebagainya berkaitan dengan aktiviti perkebunan. 

Jika dirumah anda tidak mempunyai peralatan untuk berkebun, itu tidak menjadi masalah yang sangatlah besar. Anda boleh ke Kedai Eco RM2.00 yang berdekatan dengan rumah anda untuk membeli barang-barangan berkebun. Peralatan lengkap seperti, sudip tangan, penggembur, penyiram, pasu mahupun biji benih pokok masih lagi terdapat di kedai itu.

Dengan harga yang murah lagi menjimatkan ia boleh membuat anak-anak anda bersemangat untuk menggunakan peralatan-peralatan berkebun yang baru dibeli. Saya yakin anak-anak anda pasti teruja menanam pokok sewaktu cuti sekolah nanti. 

Jika anda tidak mempunyai sebarang tanah yang berlebihan dikawasan rumah atau anda duduk di kawasan kondominium, jangan khuwatir anda boleh membeli pasu yang bersaiz kecil dan letakkan pasu anda yang sudah ditanam biji benih di balkoni rumah anda, selagi pasu itu terkena sinaran matahari pun sudah begitu bagus. Selain itu, pilihlah, biji benih yang berkualiti tinggi, saya sarankan untuk anda beli sahaja biji benih di kedai-kedai nursery untuk hasil yang cepat dan berkualiti.


3) Kraftangan


Jika anak anda, mempunyai sakit tidak boleh menyertai sebarang aktiviti-aktiviti yang lasak, tidak boleh terkena cahaya matahari yang panas dan sebagainya saya sarankan untuk anda membuat aktiviti ringan seperti kraftangan. Aktiviti ini sangat bagus diadakan kerana ianya dapat meningkatkan daya pemikiran anak anda sekaligus dapat melihat sejauh mana kekreatifan anak-anak anda.

Tidak mengapa dan jangan kedekut untuk membeli beberapa barang untuk menjalankan aktiviti ini. Jika anda memang mengalami kekangan dari segi wang, tidak mengapa aktiviti ini juga boleh menggunakan barang-barang kitar semula seperti gulungan tisu yang sudah habis digunakan, surat khabar, kotak yang terpakai dan sebagainya. 

Siapa tahu daripada gulungan tisu itu tadi akan menjadi pasu bunga yang cantik atau menjadi hiasan roket. Daripada surat khabar menjadi bakul buah-buahan ataupun daripada kotak akan menjadi tempat simpanan alat-alat tulis dan sebagainya. Tiada siapa yang akan dapat mengetahui seberapa kreatif anak mereka sehinggalah mereka menjalankan aktviti seperti ini. 

Jangan terlalu risau jika anak anda bukan seorang yang berbakat dalam membuat projek kraftangan ini, anda juga amat digalakkan untuk berkongsi idea dan jika ada masa yang terluang, anda boleh menyertai mereka didalam projek kraftangan seperti ini! Pasti anak anda akan berasa bersemangat untuk meneruskan misi mereka. 




4) Sukan Keluarga


Bonus kepada anda yang mempunyai anak-anak yang ramai. Anda boleh menjalankan aktiviti seperti sukaneka, aktiviti mencari harta karun dan lain-lain bersama keluarga besar anda. Ambil cuti beberapa hari untuk menambahkan keriangan di wajah anak-anak anda. 

Aktiviti sukaneka seperti, membawa telur didalam sudu, masukkan air kedalam botol dengan menggunakan span, mencari gula-gula didalam tepung dan sebagainya dapat meningkatkan gaya hidup sihat antara keluarga dan mampu membina ketahanan mental dan fizikal yang kuat bagi anak-anak anda.

Jika anda merasakan ingin membuat suatu kelainan didalam aktiviti sukan, anda boleh mengadakan aktiviti mencari harta karun, aktiviti ini juga boleh diadakan didalam rumah atau dikawasan rumah sahaja. Mudahkan? Anda cuma perlu menyusun beberapa checkpoint untuk membuatkan permainan ini semakin menarik dan mendebarkan. Berilah sedikit hadiah kepada anak-anak anda yang menyertai aktiviti seperti itu. 

Walaupun tidak diadakan di luar kawasan rumah seperti ditaman permainan dan kawasan yang lain yang mencabar cukup lah aktiviti ini dapat mengeluarkan peluh dan menyihatkan tubuh badan anda dan keluarga. 

Anda disarankan untuk menggunakan waktu bersama dengan sehabis baik. Masa yang ada digunakan untuk merapatkan hubungan kekeluargaan yang renggang akibat kesibukan dan komitmen kerjaya masing-masing. 

Akhir kata, kanak-kanak ibarat seperti kain putih yang bersih dan tiada coraknya. Anda sebagai ibu bapa yang wajib mencorakkan kain putih itu dengan corak yang dapat menimbulkan aura positif kepada mereka dan orang sekeliling mereka. Jika sewaktu kecil anak-anak anda sudah diabaikan, dibiarkan dan tiada masa langsung untuk bersama dengan mereka. Maka, jangan terasa hati jika suatu hari nanti, mereka mengabaikan, dan tiada masa langsung untuk bersama dengan anda. Akhir kata daripada saya terima kasih.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Back To Top